“Denyut Nadi Merdeka”: Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025
Rapid KL sekali lagi mewarnai sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia dengan kempen khas “Denyut Nadi Merdeka”. Kempen ini bukan sekadar menggerakkan tren, bas dan BRT, tetapi turut membawa mesej kebersamaan serta identiti negara kepada jutaan pengguna pengangkutan awam.
Acara pelancaran diadakan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, serta barisan pengurusan syarikat. Jalur Gemilang diagihkan kepada penumpang di laluan Bangsar hingga Pasar Seni, diserikan dengan nyanyian lagu rakyat dan persembahan kebudayaan.
Amir Hamdan berkata, “Sebagai pengendali pengangkutan awam terbesar di negara ini, kami berbangga menjadi sebahagian daripada denyut nadi rakyat dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan. Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan mobiliti, tetapi juga mencerminkan peranan pengangkutan awam sebagai simbol kecintaan kepada negara,” katanya.
Operasi Tanpa Henti
Bagi memastikan kelancaran perjalanan orang ramai, Rapid KL akan melaksanakan operasi 24 jam bermula 6.00 pagi, 30 Ogos hingga 11.30 malam, 31 Ogos. Semua perkhidmatan rel, BRT Sunway, beberapa laluan bas serta zon Rapid On-Demand (ROD) terpilih akan berjalan tanpa henti.
Sebanyak 235 buah bas akan digerakkan pada malam Ambang Merdeka merangkumi 86 laluan. Pada Hari Kebangsaan, jumlahnya meningkat kepada 308 buah bas bagi 100 laluan. Selain itu, 20 van ROD akan ditempatkan di lima zon sekitar Putrajaya Sentral serta satu zon di pusat bandar.
Bagi keselesaan pengunjung ke acara rasmi di Putrajaya, 96 buah bas perantara percuma turut disediakan. Ia merangkumi laluan dari Putrajaya Sentral, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), serta Taman Botani.
“Pengalaman tahun lalu menjadi panduan untuk kami menambah baik operasi kali ini. Lebih 5,000 petugas barisan hadapan akan ditempatkan untuk memastikan perkhidmatan berjalan lancar dan selamat,” tambah Amir.
Keretapi Sarong 2025
Selain pengangkutan percuma dan operasi tanpa henti, Rapid KL meneruskan kerjasama dengan LOCCO bagi menganjurkan acara budaya ikonik “Keretapi Sarong 2025” pada 13 September. Acara ini akan berlangsung di lapan stesen tren Rapid KL dengan persembahan seni dan aktiviti budaya yang meraikan kepelbagaian rakyat Malaysia.
Amir menegaskan, “Keretapi Sarong bukan sekadar acara budaya, tetapi bukti bagaimana pengangkutan awam boleh menjadi jambatan yang merapatkan rakyat. Ia menyatukan kita melalui warisan, muzik dan seni. Rapid KL berbesar hati menjadi tuan rumah kepada pengalaman yang mengangkat identiti kebangsaan.”
Dengan gabungan operasi lancar dan acara budaya, Rapid KL bukan sahaja membawa orang ramai ke destinasi, tetapi turut menghubungkan rakyat kepada semangat kemerdekaan.
