Accessibility Tools

Skip to main content

PRASARANA Memperkukuh Komitmen kepada Mobiliti Mampan

16 July 2025 | Stefan Pertz | Industry News & Events
images/newsimages/2025/PRASARANA%20Commits%20to%20Sustainable%20Mobility.jpg#joomlaImage://local-images/newsimages/2025/PRASARANA Commits to Sustainable Mobility.jpg?width=800&height=450

 Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini memperkukuh komitmennya terhadap mobiliti mampan menerusi pelancaran dua buah bas Rapid KL dua tingkat yang dibalut khas, menandakan peranannya sebagai Penyedia Mobiliti Rasmi bagi ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF) 2025 yang akan berlangsung 
pada Ogos ini di Kuala Lumpur. 

Majlis yang berlangsung di Pusat SDG Kuala Lumpur itu telah disempurnakan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Tuan Haji Mohamad bin Hamim, Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Prasarana diwakili oleh Encik Amir Hamdan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) dan Encik Idzqandar Abu Bakar, Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Alam Sekitar & Pembangunan Lestari Kumpulan. 

Majlis turut menyaksikan pelancaran logo rasmi ASUF 2025 yang kini dipaparkan pada badan bas Rapid KL sebagai simbol penglibatan rasmi Prasarana dalam forum ini. Prasarana akan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik khas sepanjang 10 hingga 15 Ogos, meliputi laluan utama seperti KLCC, Bukit Bintang dan beberapa lokasi tarikan di pusat bandar. Perkhidmatan ini bertujuan untuk meningkatkan keterhubungan serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. 

Selain itu, Prasarana akan turut menganjurkan lawatan teknikal ke pusat kawalan operasi dan depoh bagi memberi pendedahan lebih mendalam mengenai operasi pengangkutan awam bandar. Inisiatif lain termasuk penyertaan dalam sesi forum dan libat urus, pelaksanaan aktiviti Children’s City Walk untuk mendidik kanak-kanak tentang peranan pengangkutan awam dalam pembangunan mampan, serta penyertaan di reruai pameran korporat. 


Menerusi penglibatan ini, Prasarana menonjolkan usaha berterusannya dalam memacu amalan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dan menyokong agenda karbon rendah di bandar. Selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, penyertaan ini membuktikan kesiapsiagaan Prasarana dalam mendukung inisiatif bandar di peringkat kebangsaan selain mempromosikan pengalaman perjalanan lestari.

ASUF 2025 dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya URBANICE Malaysia, dengan kerjasama DBKL, Sekretariat ASEAN, UCLG ASPAC dan UN-Habitat.



© All rights reserved.
Powered by Klaus Fuchs Communication.

Back to Top